
Bagaimana cara untuk melakukan taubat nasuha?
Panduan ini akan membimbing anda melakukan taubat nasuha secara lengkap.
Apa yang istimewa:
Taubat nasuha untuk setiap jenis dosa yang utama dan biasa berlaku dinyatakan dalam panduan ini.
Jika anda sedang memerlukan tatacara panduan taubat, mari kita mulakan..
- Pengenalan
- Makna Taubat
- Syarat Taubat
- Cara Melakukan Taubat Nasuha
- Cara Taubat Daripada Zina
- Adakah Wajib Mengakui Dosa Silam Kepada Suami?
- Cara Taubat Daripada Mencuri
- Mengambil Harta Anak Yatim dan Menjadikan Hasil Curi Sebagai Modal Perniagaan
- Cara Taubat Atas Dosa Yang Melibatkan Hak Orang Lain
- Cara Taubat Dari Rasuah
- Cara Taubat Dari Mengumpat
- Cara Taubat Dari Pekerjaan Yang Haram
- Bolehkah Menghapuskan Simpanan Barang-Barang Yang Haram Dengan Menjualnya?
- Adakah Perlu Mengaku & Meminta Dijatuhkan Hukuman?
- Hukum Bertaubat Atas Satu Dosa, Tetapi Tidak Atas Dosa Yang Lain
- Kesan Buruk Melakukan Dosa Secara Berterusan
- Penutup
Pengenalan Panduan Taubat Nasuha
Siapa yang bertaubat kepada Allah sebelum datangnya Al-Ghargharah, maka Allah akan menerima taubatnya.
— Riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak no 7661 dan di dalam Sahih al-Jaamik al-Saghir: sahih
Apakah yang dimaksudkan dengan al-Ghargharah itu?
Ghargharah ialah suatu suara yang keluar daripada kerongkong di saat roh ditarik keluar daripada jasad.
Ini bermaksud kita hendaklah bertaubat sebelum datangnya kiamat kecil (kematian) dan kiamat besar.
Orang yang beriman akan menghadap Allah dalam keadaan takut dan mengharap kepadaNya.
Panduan ini adalah berdasarkan sebuah risalah yang dikarang Fadhilah al-Sheikh Muhammad Saleh al-Munajjid dan diterjemahkan oleh al-Fadhil Syeikh Daud al-Tetouani.
Oleh itu, manfaatkanlah kesempatan yang telah dikurniakan oleh Allah supaya kelak kita tidak memikul bebanan dosa ketika menghadapNya di hari penghisaban.
Selagi roh masih belum bercerai dari halkum, selagi itulah “jendela” taubat masih terbuka luas buat kita.
InsyaAllah.
Makna Taubat Nasuha
Maksud taubat ialah kembali.
Maka, taubat nasuha boleh diertikan sebagai:
Taubat yang seikhlasnya, yang mana dia menyesali dosa-dosanya yang telah dilakukan, meminta ampun kepada Allah dan berazam tidak akan mengulangi lagi dosa tersebut
Syarh Riyadh al-Solehin Min Kalami Sayyid al-Mursalin Imam Nawawi yang disyarah oleh Fadhilah Syeikh Muhammad Bin Soleh al-Utsaimeen jilid 1, m.s: 38, cetakan Dar Ibn al-Haitsam, Qaherah 2002.
Syarat-Syarat Taubat
Di antara syarat-syarat taubat yang diperkatakan oleh para ulama’ berdasarkan hadis dan ayat-ayat al-Quran adalah:
- Berhenti serta merta daripada dosa yang dilakukan itu.
- Mewujudkan rasa menyesal di atas perbuatan dosa yang telah dilakukan dahulu.
- Berazam tidak akan melakukan dosa-dosa terdahulu.
- Jika melibatkan hak orang lain, maka hendaklah dipulangkan semula hak orang tersebut dan meminta ampun dan maaf daripada insan tersebut.
Cara Taubat Nasuha Dari Beberapa Dosa Utama
Disini disenaraikan panduan taubat nasuha daripada dosa-dosa utama yang sering berlaku.
Dosa-dosa ini bukan sahaja memerlukan taubat kepada Allah, malah mengembalikan hak yang sepatutnya bila melakukan kesalahan terhadap manusia lain.
1. Bertaubat Daripada Zina
Saya pernah melakukan perbuatan terkutuk dengan seorang perempuan dan sekarang sangat menyesal.
Bagaimanakah cara saya perlu bertaubat?
Adakah saya perlu berkahwin dengan perempuan itu sebagai tanda taubat?
Jika perempuan itu hamil, adakah saya wajib memberikan nafkah terhadap anak hasil perbuatan zina tersebut?
Dalam kes zina, terdapat dua keadaan, iaitu:
Pertama: Zina Secara Paksa
Jika dia berzina dengan perempuan tersebut secara paksaan, maka hendaklah dia membayar kepada perempuan tersebut mahar mitsil[1] sebagai ganti rugi kemudaratan yang ditanggung.
Selain itu, hendaklah dia bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat.
Jika perkara ini sampai ke pengetahuan pihak penguasa, maka perlulah dijatuhkan hukuman yang setimpal ke atasnya.
Kedua: Zina Suka Sama Suka
Jika dia berzina dengan perempuan tersebut dengan kerelaan masing-masing, maka tiadalah apa-apa pun padanya melainkan hanyalah perlu bertaubat kepada Allah dengan sebenar-sebenar taubat.
Anak tersebut tidak boleh di’bin’ (dinisbahkan) kepadanya secara mutlak.
Oleh itu, dinisbahkan anak itu kepada ibunya.
Dia juga tidak wajib memberi nafkah kepada anak tersebut kerana anak tersebut merupakan anak zina.
Selain itu, orang yang bertaubat ini tidak diwajibkan berkahwin dengan perempuan tersebut untuk menutup kesalahan tersebut.
Lelaki yang berzina tidak boleh mengahwini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang beriman.
— Surah An-Nur: 3
Dan tidak boleh menjalankan akad nikah dengan perempuan yang terdapat janin hasil dari zina dalam perutnya, walaupun dari benih sendiri.
Dan juga tidak boleh menjalankan akad nikah dengan perempuan yang tidak pasti apakah dia hamil atau tidak — walaupun lelaki dan perempuan itu telah bertaubat.
Jika telah nampak tanda rahim wanita itu bebas[2] dari air mani lelaki itu, maka ketika itu adalah haruslah untuk mereka berdua berkahwin dan memulakan kehidupan baru bersama-sama.
Nota Kaki
1 Mahar Mitsil: iaitu mahar yang dinilai mengikut mas kahwin saudara-saudara perempuan yang telah berkahwin dahulu dan hendaklah yang dinilai sama dengan mas kahwin keluarganya yang paling dekat sekali seperti kakak dan ibu saudara.
Disamping itu, mas kahwin juga dinilaikan berdasarkan keadaan perempuan itu sendiri dari segi kecantikan, kekayaan, pelajaran dan sebagainya.
2 Istibra’ rahim (pembebasan rahim) ialah untuk memastikan perempuan tersebut tidak hamil hasil penzinaan tersebut, iaitu dengan menunggu haid sebanyak sekali.
Maka selepas tempoh itu, dapatlah diketahui yang perempuan itu hamil atau tidak.
Jika hamil, maka hendaklah dia menunggu sehingga melahirkan anak.
Iddah dan istibra’ rahim adalah perkara yang berbeza.
Ini kerana iddah adalah hak pasangan suami isteri yang sah dan bukannya zina. Manakala dalam kes zina, ia adalah istibra’ rahim.
Kata Syeikh Saleh Utsaimeen:
“Iddah adalah hak seorang suami yang menceraikan isterinya. Sedangkan lelaki yang berzina dengannya statusnya bukan suami melainkan fajir/penzina.” (Syarh al-Mumti’ [5/215, cetakan Darul Atsar])
Maka selepas perempuan yang berzina itu bertaubat dan selesai melakukan Istibra’ rahim, maka adalah sah untuk dikahwini.
Jikalau penzina lelaki itu ingin mengahwini perempuan tersebut, syaratnya adalah lelaki tersebut sudah bertaubat terlebih dahulu.
2. Adakah Wajib Mengakui Dosa Silam Kepada Suami?
Saya telah berkahwin dengan seorang lelaki yang baik.
Tetapi malangnya, pada waktu silam saya pernah melakukan perbuatan terkutuk.
Apakah saya harus menceritakan dosa silam kepada suami saya?
Tidak wajib kepada mana-mana pihak untuk menceritakan dosa silamnya kepada pasangannya.
Selagi mana Allah menutup keaiban diri kita, maka cukuplah kita bertaubat dengan sebenar-benar taubat kepadaNya.
Dan sesiapa yang telah mengahwini seorang anak dara dan apabila tiba malam perkahwinannya dia mengetahui bahawa perempuan tersebut tidak suci lagi disebabkan dosa silam yang dilakukannya, maka lelaki itu berhak mengambil semula mahar yang telah diberikan serta menceraikannya.
Jika perempuan tersebut sudah bertaubat, maka rahsiakanlah hal tersebut dan kekallah bersama perempuan itu.
Dengan izin Allah, InsyaaAllah suami yang bersabar akan dikurniakan pahala oleh Allah.
3. Taubat Daripada Mencuri
Bagaimanakah taubat bagi seorang pencuri?
Pertama sekali, jika benda yang dicuri tersebut masih berada dalam simpanan, maka wajib dipulangkan kembali benda tersebut kepada tuannya dengan segera.
Jika benda itu telah rosak atau musnah (atau sudah buruk), maka wajiblah menukar ganti benda tersebut dan memulangkan kembali kepada tuannya.
Jika tidak mampu, maka mintalah maaf serta tolak ansur daripada pemilik barang tersebut.
Bagaimana jika tidak berani untuk berterus terang kepada pemilik barang tersebut?
Dalam hal ini, pulangkan kembali barang yang dicuri itu menggunakan dengan menggunakan orang tengah.
Minta orang tengah tersebut menyampaikan barang tersebut tanpa menyebut nama kita.
Selain itu, kita juga boleh memulangkan barang menggunakan pos atau meletakkan barang curi tersebut di tempat asalnya tanpa pengetahuan pemilik asal.
Apa yang penting adalah barang tersebut selamat sampai kepada pemilik sebenar barang itu.
Bagaimana jika gagal memulangkan barang yang dicuri?
Saya pernah mencuri harta syarikat di tempat kerja dan berhenti kerja. Namun sekarang ini saya telah bertaubat serta sangat menyesal.
Saya ingin memulangkan kembali harta tersebut. Tetapi syarikat tersebut telah berpindah dan saya gagal mengesan alamat terbaru mereka.
Apa yang harus saya lakukan?”
Pertama sekali, hendaklah kita terlebih dahulu sedaya upaya mencari tempat dan alamat syarikat atau tuan punya syarikat tersebut dengan segala jalan yang ada.
Jika insan tersebut telah mati, maka pulangkanlah benda tersebut kepada waris atau keluarga tuan punya syarikat tersebut.
Jika masih juga tidak menjumpainya setelah habis segala ikhtiar, maka sedekahkanlah harta tersebut sebagai penebus kepada harta yang dicuri itu, dan niatkanlah ia untuk insan atau syarikat tersebut – walaupun insan atau syarikat tersebut adalah kafir.
Kerana Allah akan memberikan kepada mereka harta di dunia tetapi tidak di akhirat kelak.
4. Mengambil Harta Anak Yatim & Menjadikan hasil curi sebagai modal perniagaan
“Saya mengambil harta anak yatim dan menjadikan ia modal perniagaan. Setelah sekian lama, saya mendapat keuntungan dan harta tersebut telah bertambah berkali ganda.
Sekarang saya telah bertaubat dan bagaimana harus saya serahkan harta tersebut?
Para ulama telah mengeluarkan banyak pendapat mengenai hal ini.
Namun pendapat yang paling pertengahan ialah hendaklah memulangkan modal asal itu kepada anak yatim tersebut dan ditambah bersama dengan setengah daripada keuntungan tersebut.
Maka jadilah kamu dan anak yatim tersebut seakan-akan rakan kongsi terhadap keuntungan tersebut, dan dalam masa yang sama kamu telah pun memulangkan hak mereka.
Pendapat ini dinyatakan oleh Imam Ahmad dan Ibnu Taimiyah al-Harrani. Pendapat ini telah diperkuatkan oleh Imam Ibnu Qayyim rhm di dalam al-Madaarij.
Begitu juga jika seseorang telah mencuri beberapa ekor ternakan daripada unta atau kambing, lalu binatang yang dicuri itu membiak dan beranak – maka hendaklah dipulangkan binatang yang dicuri itu beserta setengah ekor daripada anak-anak binatang tersebut kepada tuan asalnya.
Jika binatang (ibunya) itu telah mati, maka berikanlah harga binatang tersebut bersama setengah ekor anak-anaknya kepada tuannya.
Contohnya
Kamu telah mencuri duit seorang anak yatim itu sebanyak RM1000.
Selepas itu kamu telah memperniagakan wang curi tersebut dan menjadikannya sebagai modal, lalu mendapat keuntungan hasil wang curi yang diperniagakan itu sebanyak RM4000.
Selepas itu kamu bertaubat dan ingin memulangkannya.
Oleh itu, hendaklah dipulangkan RM1000 dan ditambah bersama setengah daripada keuntungan tadi iaitu RM2000.
Maka jadi RM3000 yang perlu dipulangkan.
Wallahu a’lam.
5. Bertaubat Daripada Dosa yang Melibatkan Hak Manusia Lain
Hendaklah sesiapa yang ingin bertaubat itu melepaskan diri dari belenggu kezaliman silamnya yang dahulu dengan melunaskan kembali perkara tersebut dengan:
- Membayar kembali jika berkaitan dengan duit dan harta benda.
- Hendaklah meminta dihalalkan atau meminta supaya dia memaafkanmu.
Jika dia memaafkanmu, maka segala puji bagi Allah.
Andai tidak, pulangkan kembali haknya.
Sesiapa yang mempunyai kezaliman terhadap saudaranya, iaitu yang berupa maruah atau harta benda, maka mintalah kepadanya agar dihalalkan (perkara-perkara tersebut) cepat-cepat sebelum diambil daripadanya di hari tiadanya dinar juga dirham, (yang mana pada hari itu) jika dia mempunyai amalan soleh, maka akan diambil daripada amalan tersebut sekadar kezaliman yang dilakukannya, jika dia tidak mempunyai apa-apa amalan (soleh), maka akan diambil pula kejahatan-kejahatan orang yang dizaliminya itu, lalu diberikan kepadanya.
– Muttafaqun ‘Alaihi
6. Bertaubat Dari Mengambil Rasuah
Saya pernah mengambil rasuah, kemudian saya telah bertaubat.
Maka apakah yang perlu saya lakukan dengan duit-duit rasuah yang pernah diterima?
Rasuah biasanya berlaku dalam dua keadaan ini:
1) Mengambil rasuah daripada orang yang dizalimi
Keadaan ini berlaku apabila orang yang dizalimi tersebut terpaksa membayar rasuah untuk menuntut kembali haknya, dimana dia tidak mungkin akan mendapat kembali haknya melainkan dengan membayar rasuah.
Maka dalam keadaan sebegini, wajiblah keatas orang yang ingin bertaubat ini memulangkan kembali duit rasuah tersebut kepada pemberi rasuah jenis ini.
Kerana hukumnya dikira seperti harta yang dirampas, dan orang yang memberi rasuah tersebut seakan-akan dipaksa.
2) Mengambil rasuah daripada orang zalim
Jika pemberi rasuah tersebut memberikan rasuah kepada perkara yang tiada terdapat haknya di situ, maka dalam keadaan ini, duit tersebut tidak perlu dipulangkan.
Duit tersebut hendaklah dibelanjakan pada jalan kebaikan yang diharuskan seperti memberikannya kepada fakir miskin.
Taubatnya sama seperti sesiapa yang mengambil hak orang lain dari tuannya.
7. Bertaubat Daripada Mengumpat Orang
Jika saya pernah mengumpat dan memburukkan orang lain, adakah disyaratkan supaya saya memberitahu mereka tentang dosa tersebut disamping meminta maaf?
Masalah sebegini terletak pada perkara berkaitan masalih (perkara yang boleh mendatangkan kebaikan) dan juga mafasid (perkara yang boleh mendatangkan keburukan dan kemudaratan) jika kamu memberitahu mereka tentang umpatan kamu dan tuduhan kamu kepada mereka itu.
Jika perkara tersebut tidak menambahkan kemarahan dan kesedihan mereka, maka berterus-teranglah kepada mereka tentang hal tersebut secara umum sahaja (tanpa perlu memperincikan tentang perkara tersebut) berserta meminta maaf dengan penuh penyesalan.
Manakala, jika anda risau atau takut apabila diberitahu mereka tentang perkara tersebut akan mengakibatkan permusuhan dan pergaduhan yang besar (bakal berlaku kemudharatan yang besar), oleh itu cukuplah kita bertaubat dengan memenuhi beberapa perkara berikut:
- Hendaklah menyesal dan hendaklah meminta keampunan daripada Allah, serta cuba bermuhasabah tentang betapa haram dan terkutuknya perbuatan tersebut.
- Hendaklah memuji insan yang diumpati itu dengan pujian kebaikan di hadapan orang lain. Sebutkan segala kebaikan-kebaikan insan tersebut.
- Hendaklah dia membela insan yang diumpatinya itu, jika adanya orang lain sedang mengatakan perkara tidak baik terhadap insan tersebut.
- Berdoa kepada Allah agar diampunkan dosa orang yang diumpatinya (tanpa pengetahuannya)
8. Bertaubat Dari Pekerjaan Yang Haram
Saya telah bekerja dalam bidang yang haram dan telah mendapat gaji hasil dari kerja tersebut.
Sekarang saya sudah bertaubat.Apakah saya perlu memulangkan kembali gaji ini kepada majikan saya?
Menurut pendapat Ibnu Taimiyah:
Seseorang yang bekerja dalam bidang yang haram, atau memberikan perkhidmatan yang haram dan telah bertaubat kepada Allah serta masih mempunyai saki-baki gaji dari kerja tersebut:
– maka hendaklah dia membelanjakan wang tersebut tanpa perlu dia memulangkan semula wang tersebut kepada majikannya.
Seorang pelacur yang telah bertaubat tidaklah perlu dia memulangkan kembali wang yang diperolehinya kepada bekas pelanggannya.
Seorang penyanyi yang membuat persembahan yang diharamkan (tidak mengikut syarak) tidak perlu memulangkan kembali duitnya kepada penganjur konsert tersebut.
Kerana jika dia memulangkan kembali wang haram tersebut kepada penganjur itu, maka dia telah menghimpunkan kembali duit haram itu dan seterusnya menolong penganjur itu meneruskan kerja haramnya.
Maka cukuplah untuk membelanjakan wang tersebut untuk kegunaan lain.
9. Bolehkah Menghapuskan Simpanan Barang-Barang Yang Haram Dengan Menjualnya?
Saya telah bertaubat nasuha kepada Allah, tetapi dalam masa yang sama saya masih mempunyai simpanan barang-barang yang haram seperti peralatan judi, arak, filem lucah dan sebagainya.
Saya ingin menghapuskan semua barang tersebut dari hidup saya.
Bolehkah saya menjualnya?
Jawapannya adalah tidak boleh.
Tidak boleh menjual barang-barang yang haram dan hasil yang diperolehi dari penjualan barang-barang tersebut adalah haram!
Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya Allah jika sudah mengharamkan sesuatu, maka akan diharamkan juga harganya (hasil dari perkara yang diharamkan tersebut)
— Riwayat Ali Ibn Ja’ad, Abu Daud, al-Syafiey, Ahmad, al-Daraqutni dan al-Baihaqi.
Apabila kita sudah tahu jika kita menjual sesuatu barang dan pembeli tersebut akan menggunakannya ke jalan yang haram, maka hukumnya tidak boleh menjual barang tersebut.
Dan janganlah kamu bertolong-tolong didalam perkara dosa dan permusuhan.
— Al-Maidah: 2
Adakah Perlu Mengaku & Minta Dijatuhkah Hukuman?
Adakah disyaratkan untuk mengakui segala jenayah silam di mahkamah dan meminta dijalankan hukuman?
Tidak wajib seseorang itu untuk mengaku segala jenayah silamnya dihadapan seorang hakim supaya dijalankan hukuman ke atasnya.
Sesiapa yang telah Allah tutup segala rahsianya, maka tidak mengapalah untuk dia menutupi rahsia dirinya sendiri.
Cukuplah dengan taubat kepadaNya dengan sebenar-benar taubat nasuha dan mengakui segala dosa-dosa silam itu dihadapanNya.
Bertaubat Atas Satu Dosa, Tetapi Tidak Bertaubat Untuk Dosa Yang Lain
Adakah sah taubat nasuha saya, jika saya hanya bertaubat untuk satu dosa, tetapi masih belum bertaubat terhadap dosa yang lain?
Sah taubat terhadap satu dosa walaupun tidak bertaubat untuk jenis dosa yang lain.
Tetapi ini hanya terpakai jika dosa tersebut bukanlah dari jenis dosa yang sama, dan juga tidak ada kaitan dengan dosa yang pertama.
Contohnya:
Jika seseorang itu bertaubat daripada dosa mencuri dan dia tidak bertaubat untuk dosa minum arak, maka taubatnya terhadap mencuri tersebut adalah sah.
Tetapi jika dia bertaubat daripada mencuri kereta dan tidak bertaubat dari mencuri wang tabung masjid, maka taubatnya tidaklah sah.
Sama juga dengan sesiapa bertaubat dari menghisap syisya dan tidak bertaubat daripada minum arak.
— ia tidak dikira sah taubatnya kerana setiap perlakuan tersebut sama sahaja dari segi jenis, rupa dan keadaannya.
Cuma sahaja dijadikan seakan-akan berlainan.
Keburukan Melakukan Dosa Secara Berterusan
Imam Ibnu Qayyim rhm ada menyatakan beberapa keburukan melakukan dosa-dosa secara berterusan di dalam kitab beliau, al-Daa’ wa al-Dawaa’
- Haram dari mendapat ilmu yang bermanfaat.
- Kemurungan dan wujudnya keresahan yang meresahkan di dalam hati.
- Disusahkan urusan di dalam kehidupan seharian.
- Diharamkan dari berlaku taat.
- Diharamkan mendapat keberkatan.
- Kurangnya berasa kedamaian.
- Disempitkan dada.
- Membiakkan perkara-perkara dosa yang lain.
- Dibiasakan berterusan melakukan dosa.
- Dihinakan oleh Allah.
- Dihinakan oleh manusia lain.
- Dilaknati oleh segala binatang ternakan.
- Ditandakan titik hitam di atas hati.[3]
- Diletakkan di bawah kelaknatan.
- Terhalang dimakbulkan doa.
- Dihapuskan rasa malu.
- Ditarik nikmat dari Allah.
- Sentiasa merasa takut di dalam hatinya.
- Tergolong di dalam tawanan syaitan.
- Mati di dalam keadaan yang buruk.
- Mendapat azab seksa Allah di akhirat.
3 Seperti dalam hadis nabi yang bermaksud:
Sesungguhnya seorang hambah itu jika melakukan satu dosa, maka akan dititik pada hatinya suatu titik hitam. Jika dia bertaubat dan berhenti dari dosa itu, maka akan dibersihkan hatinya itu. Jika dia kembali melakukan dosa itu kembali, titik hitam akan bertambah sehinggalah hatinya hitam berkarat, dan itulah yang dinamakan al-Raan (tutupan)
— al-Hakim dalam al-Mustadrak no. 3908, jilid 2, m.s 562, al-Baihaqi di dalam al-Sunan no. 20763, jilid 10 m/s: 316
Penutup: Yakinlah Allah Itu Maha Pengampun
Katakanlah: Hai hamba-hambaku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang
— Surah al-Zumar 53
Inilah kehebatan dan kebesaran sifat al-‘Afuw (Yang Maha Pemaaf) dan al-Ghaffar (Yang Maha Pengampun) Allah SWT.
Oleh itu yakinlah, apabila seorang pendosa menyesal, meminta ampun dan membuat amalan soleh, pasti akan diampunkan segala dosa.
Pasti!
Semoga panduan ini memberi manfaat yang berguna.
The post Cara Taubat Nasuha (Panduan Lengkap) appeared first on AKU ISLAM.