
Sudahkan anda mengucapkan Istigfar?
Bagaimana pula lafaz istigfar yang sebaiknya?
Baik, dalam artikel ini anda belajar:
- Hikmah sentiasa beristigfar
- Syarat-syarat untuk mengucapkan istigfar
- Masa
- .. dan banyak lagi.
Tanpa buang masa, mari kita mulakan..
Pengenalan
Manusia merupakan makhluk yang serba lemah dan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan dosa pada saban hari.
Allah SWT dengan sifatNya yang Maha Pengampun, Pengasih dan Penyayang membuka peluang kepada insan untuk memohon keampunan pada setiap waktu dan di mana sahaja mereka berada.
Firman Allah yang bermaksud:
Dan mohonlah ampun kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Merahmati.
— Surah al-Muzammil ayat 20
Makna Istigfar
Menundukkan hati, jiwa dan fikiran terhadap Allah dalam memohon keampunan atas segala dosa serta kesilapan yang dilakukan.
Hikmah Istigfar
- Menghidupkan jiwa yang resah kerana dosa.
- Mendekatkan diri kepada Allah.
- Meningkatkan ketakwaan diri.
- Membanteras tipu daya syaitan, yang selama ini memerangkap manusia dengan dosa.
- Memperolehi kemuliaan dan anugerah Allah SWT dalam hidup dunia dan Akhirat.
Keampunan Allah SWT terhadap hambaNya adalah dengan terlaksananya amalan taubat dan istigfar.
Kedua-dua amalan ini saling melengkapi untuk memastikan Allah SWT mengurniakan kita pengampunan.
Syarat Istigfar
- Meninggalkan maksiat.
- Menyesal atas maksiat yang telah dilakukan
- Berhasrat tidak akan mengulanginya lagi.
- Memperbanyakkan ibadah dan berbuat amal kebajikan seperti bersedekah, memberi makan kepada fakir miskin dan lain-lain.
- Mohon maaf dan memulangkan kembali hak yang telah diambil jika melibatkan orang lain.
Masa Untuk Istigfar
Antara masa yang digalakkan untuk beristigfar adalah:
- Sepanjang hari dan malam.
- Sesudah melakukan dosa.
- Ketika hendak tidur.
- Ketika hendak bersahur.
- Setelah selesai berwuduk.
- Ketika duduk antara dua sujud.
- Sesudah membaca tahiyat (tasyahud akhir).
- Ketika hendak meninggalkan sesuatu majlis.
Lafaz Istigfar
1. Lafaz Istigfar ketika bersurai dari majlis
Istighfar sewaktu hendak bersurai daripada majlis seperti majlis ceramah, jamuan doa selamat dan mesyuarat.

Maksudnya:
Maha Suci Engkau, ya Allah dan puja puji untuk-Mu. Aku naik saksi tiada tuhan selain Engkau. Aku memohon keampunan daripada-Mu dan bertaubat kepada-Mu.
(Riwayat at-Tirmizi daripada Abu Hurairah r.a.)
2. Saiyidul Istigfar (Penghulu Istigfar)
Penghulu Istighfar ini juga disebut sebagai “Saiyidul Istigfar” sesuai dengan kedudukannya yang tinggi dalam Islam.

Maksudnya:
Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada tuhan yang disembah melainkan Engkau. Engkau telah menjadikan aku, dan aku ialah hamba Mu, aku tetap atas amanah-Mu dan janji-Mu sekadar kesanggupan. Aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan yang telah aku lakukan. Aku mengakui kepada-Mu dengan nikmatMu ke atasku dan aku mengakui dosaku. Maka ampunilah aku, maka sesungguhnya tiada siapa yang dapat mengampuni dosa-dosaku selain Engkau.
(Riwayat al-Bukhari dan Abu Daud)
3. Istigfar Selepas Solat
Doa istighfar ini elok dibaca khususnya selepas solat sebagai memperbaharui keinsafan kita terhadap dosa yang sering dilakukan:

Maksudnya:
Ya Allah, aku memohon ampun kepada-Mu daripada segala dosa yang aku telah bertaubat kepada-Mu kemudian aku ulanginya. Aku memohon kepada-Mu daripada segala perkara yang telah aku berjanji kepada-Mu daripada diriku yang tidak aku tunaikannya kepada-Mu. Aku memohon ampun kepada-Mu daripada segala amalan yang ingin aku lakukan kerana wajah-Mu, lalu ia bercampur aduk dengan selain daripada-Mu. Aku memohon keampunan-Mu daripada segala nikmat yang Engkau telah beri kepadaku lalu aku menggunakannya untuk mengerjakan maksiat terhadapMu. Aku memohon keampunan-Mu wahai Tuhan Yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan nyata daripada segala dosa yang aku kerjakannya di cahaya siang dan kegelapan malam, di khalayak ramai, bersendirian, secara rahsia dan terang-terangan, wahai Tuhan Yang Maha Penyantun.”
4. Istigfar Sebelum Tidur
Istighfar yang selalu dibaca selepas solat lima waktu juga sebelum waktu tidur sebanyak 3 kali.

Maksudnya:
Aku memohon ampun kepada Allah Yang Maha Besar, tiada Tuhan melainkan Dia, yang hidup lagi sentiasa berdiri dengan sendirinya dan aku bertaubat kepada-Nya.”
5. Istigfar Penenang Hati
Istighfar dan taubat yang boleh dijadikan wirid atau zikir untuk mententeramkan jiwa yang selalu resah:

Maksudnya:
Aku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung (3 kali). Kami telah bertaubat kepada Allah, kami telah kembali kepada Allah, kami telah menyesal atas apa yang telah kami lakukan, dan kami berazam untuk tidak lagi mengulangi dosa selama-lamanya.”
Doa Istigfar
1. Istigfar Selepas Tahiyat Sebelum Beri Salam
i. Doa istighfar ini dibaca selepas tasyahud akhir sebelum salam:
Maksudnya:
Ya Allah, ampunilah aku terhadap aku kemudiankan, yang aku sembunyikan dan yang aku nyatakan, begitu juga dosa yang kubuat berlebih-lebihan, dan segala dosa yang mana Engkau amat mengetahuinya daripadaku. Engkaulah permulaan dan Engkaulah penyudahan, tidak ada tuhan selain Engkau. Wahai (Tuhan) yang membolak-balikkan sekalian hati, tetapkanlah hatiku atas (berpegang kepada) agama Engkau (Islam) dan atas menjunjung titah-Mu. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku ini sebahagian daripada orang yang zalim.”
ii. Rasulullah SAW juga telah mengajarkan kepada Abu Bakar as Siddiq r.a. satu doa supaya dibaca ketika tasyahud sebelum salam:

Maksudnya:
Ya Allah, sesungguhnya aku telah menganiaya diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, lagi besar, dan tidaklah ada seorang pun yang dapat mengampuni daku kecuali Engkau, maka ampunilah aku dengan keampunan yang sesempurnanya dari sisi Engkau dan rahmatilah aku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Merahmati.”
2. Istigfar Semasa Duduk Antara Dua Sujud
Bacaan atau doa istighfar yang dibaca semasa duduk antara dua sujud (dalam solat):

Maksudnya:
Wahai Tuhanku, ampunilah aku, kasihilah aku, tutupilah aibku, tinggikanlah darjatku, berikanlah aku rezeki, tunjukkanlah aku, sejahterakanlah aku dan maafkanlah aku.”
3. Istigfar Semasa Wuduk
Doa pada permulaan wuduk atau di pertengahannya:

Maksudnya:
Ya Allah, ampunilah segala dosaku, lapangkanlah rumah tanggaku dan berkatkanlah rezekiku.”
Penutup: Istigfar Itu Jalan Keluar Dari Pelbagai Masalah
Ada sebuah mutiara kisah yang cukup manis untuk diamalkan.
Kisah itu dipetik daripada kitab Tafsir al-Maraghi, hasil tulisan ulama bernama Ahmad Musthafa al-Maraghi.
Kisah iktibar itu mengenai tabi’in bernama Hasan al-Basri.
Beliau sering didatangi segenap lapisan masyarakat bertanyakan hukum agama dan meminta nasihat.
Satu hari, seorang lelaki datang mengadu kepadanya kerana masalah kelaparan.
Beliau dengan penuh hikmah menjawab, “Istighfarlah kepada Allah.”
Kemudian beliau didatangi seorang mengadu masalah ketiadaan zuriat. Beliau menjawab, “Istighfarlah kepada Allah.”
Kemudian datang seorang lelaki mengadu kebunnya kekeringan kerana musim kemarau.
Beliau dengan penuh hikmah menjawab, “Beristighfarlah kepada Allah.”
Jawapan Hasan al-Basri menghairankan masyarakat sekitarnya.
Salah seorang daripada penduduk itu bertanya, “Beberapa orang lelaki datang dan mengadu pelbagai masalah, tetapi tuan hanya menyuruh mereka semua untuk melafazkan istighfar.”
Hasan al-Basri menjawab, “Aku sama sekali tidak mengatakan apapun dari diriku sendiri. Sesungguhnya Allah berfirman seperti itu.”
Firman Allah yang dimaksudkan oleh Hasan adalah Surah Nuh ayat 10-12.
Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas, Rasulullah bersabda yang bermaksud:
Barang siapa melazimkan istighfar, maka Allah akan jadikan jalan keluar dalam setiap kesulitan hidup dan jadikan setiap kegundah-gulanaan menjadi kebahagiaan dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.”
(Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah)
Kesimpulannya, sentiasalah beristigfar.
Kerana dengan sentiasa beristigfar, Insyaallah hidup kita akan sentiasa lancar dan permudahkan.
Semoga memberi manfaat.
The post Panduan Istigfar appeared first on AKU ISLAM.