Bagaimana cara melakukan Solat Sunat Tahajjud?
Panduan ini akan membimbing anda melakukan solat sunat tahajjud secara lengkap, mudah, dan boleh difahami oleh semua orang.
Apa yang istimewa:
Anda akan dibimbing langkah demi langkah sehingga selesai.
Setiap bacaan juga dipermudahkan dalam ejaan rumi (jika anda menghadapi kesukaran membaca tulisan arab)
Tanpa buang masa mari kita ikuti panduan ini..
Pengenalan
Solat sunat tahajjud digalakkan agar didirikan setiap malam.
Kita solat fardhu Isyak di awal waktu dengan berjemaah dan bangun kemudian bersegera tidur agar dapat bangun di tengah malam untuk mengerjakan solat sunat tahajjud.
Hukum solat tahajjud adalah sunat muakkad – iaitu amalan sunat yang sangat digalakkan.
Rasulullah SAW dan para sahabat tidak pernah meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka.
Baginda sendiri tidak pernah meninggalkan solat Tahajjut walau satu malam pun sehingga kedua-dua kaki baginda bengkak-bengkak kerana terlalu banyak berdiri.
Baginda bersabda yang ertinya;
Solat yang paling utama selepas solat fardu adalah solat malam (solat tahajjud)”
— H.R Muslim
Solat sunat tahajjud sangat digalakkan dilakukan bersama-sama dengan solat taubat
Waktu Solat Tahajjud
Solat sunat tahajjud dilakukan pada tengah malam, iaitu selepas jam 12 malam.
Waktu ini adalah selepas bangun daripada tidur sewaktu keadaan senyap sunyi dikala semua manusia lain sedang nyenyak tidur.
Firman Allah SWT:
Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, atau lebih daripada seperdua itu dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan.
Lafaz Niat Solat Tahajjud
Apabila bangkit selepas tidur di tengah malam, ambillah wuduk.
Seterusnya mengadap arah kiblat dan ucapkan lafaz niat solat solat tahajjud ini:
Usolli Sunnatal Tahajjud Rak’ataini Lilaahi Ta’ala
Sahaja aku solat tahajjud dua rakaat kerana Allah Taala
Jumlah Rakaat
Tidak ada keterangan khusus berkenaan solat tahajjud secara terperinci.
Bilangan rakaatnya tidak terbatas, tetapi sekurang-kurangnya dua rakaat dengan satu salam bagi setiap dua rakaat.
Solat sunat taubat boleh dikerjakan sebanyak dua, empat, enam, lapan dan dua belas rakaat. — tetapi ia boleh dilakukan sebanyak mungking mengikut kemampuan anda.
Tetapi apa yang lebih penting, sebolehnya ia dilakukan secara istiqamah setiap malam walaupun hanya dilakukan 2 rakaat sahaja.
Perlaksanaan cara solat taubat ini adalah sama seperti solat-solat sunat yang lain.
Surah Yang Boleh Dibaca Dalam Solat
Bacaan dalam solat ini tidaklah ditentukan.
Oleh itu, bolehlah dibaca mana-mana surah yang disukai.
Di bawah ini adalah cadangan surah yang boleh dibacakan.
Pada rakaat pertama, bacalah surah Al-Fatihah dan diikuti surah Al-Kafirun:
Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.
Pada rakaat kedua, bacalah surah Al-Fatihah dan diikuti surah Al-Ikhlas:
Maksudnya:
Katalah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.”
Semasa Sujud Akhir
Semasa sujud akhir pada rakaat kedua, ucaplah sebanyak tiga (3) kali ayat di bawah:
Maksudnya:
“Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku”
Doa Selepas Solat Tahajjud
Sesudah salam, bacalah doa sebagaimana berikut:
Allahumma laka hamdu anta qoyyimussamawaa ti wal ardhi waman fi hinna, walakal hamdu laka mulkussama waa ti wal ardhi waman fii hinna, walakal hamdu nuu russama wa ti wal ardhi, walakal hamdu antal haqku wa wa’ dukal haqku wa liqo-u-ka haqku wa qauluka haqku wal jannatu haqku wanna ru haqku, wannabi yuu na haqku, wassa-‘atu haqku
Allahumma laka aslamtu, wabika amantu, wa alaika tawakkaltu wa ilaika anabtu wabika hasamtu, wa ilaika hakamtu, fagfirli ma qaddamat, wa maa akhortu wa maa asrartu wa maa ‘a lantu, antal muqoddimu wa antal mu-a-khiru, laa ilaha illa anta au laa ilaha khoirul ka wa laa hau la walaa quwwata illah billah.
Maksudnya:
Ya Allah, bagiMu segala puji, Engkaulah penegak langit dan bumi serta segala isinya.
BagiMulah segala puji, Engkau raja penguasa langit dan bumi. BagiMulah segala puji, pemancar cahaya langit dan bumi.
BagiMulah segala puji, Engkaulah yang benar, Engkaulah yang benar, janjiMu adalah benar, perjumpaanMu itu adalah benar, firmanMu adalah benar, syurga adalah benar, neraka adalah benar, para nabi adalah benar, Nabi Muhammad SAW adalah benar, dan hari kiamat adalah benar.
Ya Allah, kepadaMulah aku berserah diri, kepadaMulah aku kembali, kepadaMulah aku rindu, dan kepada Engkaulah aku berhukum. Ampuni aku atas kesalahan yang telah aku lakukan dan yang sebelumnya, baik yang aku sembunyikan mahupun yang dinyatakan.
Engkaulah Tuhan yang terdahulu dan Tuhan yang terakhir. Tiada Tuhan melainkan Engkau. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan (kekuasaan) Allah.
Kelebihan Solat Tahajjud
Banyak kelebihan melakukan solat tahajjud.
Antara kelebihan solat sunat tahajjud ialah makbul doa, tenang hati serta fikiran, murah rezeki dan mendapat perlindungan daripada pengkhianatan manusia.
Yang paling penting adalah waktu ini pintu taubat terbuka luas.
Rasulullah SAW bersabda:
kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada TuhanMu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari amalan dosa dan dapat menghalangi penyakit
— Riwayat Tirmizi dan Ahmad R.A
Malah, dengan solat tahajjud juga akan menjadikan diri kita lebih kuat dan lebih produktif
Penutup: Allah Membuka Pintu Langit Kepada HambaNya
Solat malam adalah satu peluang keemasan ditawarkan kepada manusia untuk mengeratkan perhubungan kita dengan Allah.
Pada sepertiga malam pintu langit terbuka luas menerima taubat hamba-Nya.
Kesusahan hanya dirasai mereka yang jarang atau tidak pernah melakukannya, tetapi bagi mereka yang biasa, ia menjadi satu kenikmatan pula.
Malah, bagi yang dapat menghayatinya mereka akan berasa kerugian besar jika tertinggal daripada mengerjakan solat berkenaan.
Semoga panduan ini dapat membantu anda.
The post Panduan Lengkap Solat Sunat Tahajjud appeared first on AKU ISLAM.