Bagaimana cara melakukan Solat Dhuha?
Panduan ini akan membimbing anda melakukan solat dhuha secara mudah, dan boleh difahami oleh semua orang.
Apa yang terbaik:
Anda akan dibimbing langkah demi langkah sehingga selesai.
Setiap bacaan juga dipermudahkan dalam ejaan rumi (jika anda menghadapi kesukaran membaca tulisan arab)
Tanpa buang masa mari kita ikuti panduan ini..
Bilakah Waktu Solat Dhuha?
Solat sunat dhuha dilakukan apabila matahari telah naik pada waktu pagi sekadar satu galah tingginya.
— Iaitu sekitar 20-30 minit selepas terbit matahari.
Tempoh waktu ini berlarutan sehingga hampir gelincirnya matahari, iaitu sebelum masuk waktu zuhur.
Setelah masuk waktu zuhur, maka tamatlah waktu dhuha (10 minit sebelum zuhur).
Berapa Jumlah Rakaat Solat Sunat Dhuha?
Solat sunat dhuha boleh dikerjakan sebanyak dua, empat, enam atau lapan rakaat – dengan setiap 2 rakaat 1 salam.
Perlaksanaan solat ini adalah sama seperti solat-solat sunat yang lain.
Diriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa beliau ditanya tentang bilangan rakaat solat dhuha yang dikerjakan oleh Baginda.
Maka beliau menjawab Baginda bersolat sebanyak empat rakaat dan menambah lebih daripada itu jika Baginda kehendaki.
Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hani’ yang menyatakan bahawa Baginda solat dhuha sebanyak lapan rakaat pada hari pembukaan Kota Makkah.
Kedua-dua riwayat ini terdapat dalam sahih muslim.
Bagaimana Lafaz Niat Solat Dhuha?
Lafaz niat solat sunat dhuha adalah seperti berikut:
ﺃﺻَﻠِّﻲ ﺳُﻨَّﺔَ ﺍﻟﻀُﺤَﻰ ﺭَﻛَﻌَﺘَﻴْﻦِ ﻟِﻠﻪِ ﺗَﻌﺎﻟﻰَ
“Usholli sunnatan d-dhuha rak’ataini lillahi ta’alaa”.
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat dhuha 2 rakaat kerana Allah ta’ala.
Apakah Surah Yang Digalakkan Untuk Dibaca Dalam Solat?
Sebenarnya tiada penetapan khas untuk pembacaan surah bagi solat ini.
Tetapi terdapat beberapa surah yang dianjurkan oleh para ulama untuk dibacakan semasa melakukan solat dhuha.
Pada rakaat pertama, seperti biasa bacalah surah Al-Fatihah terlebih dahulu.
Selepas selesai surah Al-Fatihah, ikuti pula dengan bacaan surah Asy-Syams.
Sila ‘play’ audio jika anda menghadapi masalah membaca atau menyebut bacaan al-quran yang betul

Pada rakaat kedua, bacalah surah Al-Fatihah dan diikuti surah Ad-Dhuha.

Selain daripada dua surah di atas, anda juga boleh membaca surah al-kafirun dan al-ikhlas
Bacaan Semasa Sujud Akhir
Semasa sujud akhir sebelum tahiyyat akhir, bacalah sebagaimana berikut sebanyak 40 kali:
Wa-Hab li yaa-waH-Haa bu ‘il-man wa hikmatan, wa-hik-ma-tan, waar-zuq-niy, yaa-raz-zza-qu kun liy mu-saH-Ha-laa
Maksudnya:
Berikan kepadaku, wahai Tuhan Yang Maha Memberi akan ilmu dan hikmah dan murahkanlah rezeki kepadaku, wahai Tuhan Yang Maha Pemberi Rezeki jadikan ia mudah bagiku.
Doa Yang Digalakkan Selepas Solat Sunat Dhuha
Antara doa yang digalakkan untuk dibaca selepas selesai melakukan solat sunat dhuha adalah:
اللّهُمَّ إِنَّ الضّحَاءَ ضَحَاؤُكَ
Allahumma innaddhuhaa’a dhuhaa uka
وَالْبَهَاءَ بَهَاؤُكَ
Walbahaa’a bahaa uka
وَالْجَمَالَ جَمَالُكَ
Waljamaala jamaaluka
وَالْقُوَّةَ قُوَّتُكَ
Walquwwata quwatuka
وَالْقُدْرَةَ قُدْرَتُكَ وَالْعِصْمَةَ عِصْمَتُكَ
Walqudrota qudrotuka wal’ismata ‘ismatuka.
اللّهُمَّ إِنْ كَانَ رِزْقِيْ فِي السَّمَاءِ فَأَنْزِلْهُ
Allahumma inkaana rizqi fissamaa’i fa’anzilhu
وَإِنْ كَانَ فِي اْلأَرْضِ فَأَخْرِجْهُ
Wa’inkaana fil ardhi fa’akhrijhu
وَإِنْ كَانَ مُعْسِرًا فَيَسِّرْهُ
Wa’in kaana mu’assiron fayassirhu
وَإِنْ كَانَ حَرَامًا فَطَهِّرْهُ
Wa’in kaana harooman fathohhirhu
وَإِنْ كَانَ بَعِيْدًا فَقَرِّبْهُ
Wa’inkaana ba’idan faqorribhu
بِحَقِّ ضَحَائِكَ وَبَهَائِكَ وَجَمَالِكَ وَقُوَّتِكَ وَقُدْرَتِكَ آتِنِي مَا آتَيْتَ عِبَادَكَ الصَّالِحِيْنَ
Bihaqqi dhuhaa ika wabahaa ika wajamaalika waquwwatika waqudrotika aatini maa ataita ‘ibaadakassolihiin
Maksud doa diatas adalah seperti berikut:
Ya Allah
Sesungguhnya Waktu Dhuha itu Dhuha-Mu
Kecantikannya Kecantikan-Mu
Keindahannya Keindahan-Mu
Kekuatannya Kekuatan-Mu
Kekuasaannya Kekuasaan-Mu
Perlindungannya Perlindungan-Mu
Ya Allah
Jika rezeki masih di langit, turunkanlah
Jika di bumi, keluarkanlah
Jika sukar, per-Mudahkanlah
Jika haram, sucikanlah
Jika jauh, dekatkanlah
Berkat waktu Dhuha
Kecantikan-Mu, keindahan-Mu
Kekuatan-Mu, kekuasaan-Mu
Limpahkan kepadaku segala
Yang Engkau telah limpahkan
Kepada hamba-hamba-Mu yang soleh
Apakah Kelebihan Solat Dhuha Kepada Kita?
Apakah kelebihannya mendirikan solat sunat dhuha?
Allah memberi kelebihan kepada umatnya untuk meraikan waktu yang penting itu dengan mendirikan solat sunat dhuha.
Sekurang-kurangnya terdapat 5 kebaikan yang kita dapat apabila melakukan solat dhuha:
1. Sebagai wasiat dan sunnah Rasulullah.
Rasulullah SAW berwasiat kepada umatnya untuk merutinkan solat sunat dhuha.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa dia berkata,
Kekasihku (Rasulullah) memberikan pesan (wasiat) kepadaku dengan tiga hal yang tidak pernah aku tinggalkan hingga aku meninggal nanti; iaitu puasa tiga hari setiap bulan, solat Dhuha, dan tidur dalam keadaan sudah mengerjakan solat witir.”
— Hadis Riwayat Bukhari
2. Dibangunkan sebuah rumah di syurga.
Bagi golongan yang rajin mengerjakan solat dhuha juga akan dibangunkan sebuah rumah untuknya di dalam syurga.
Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW,
Barangsiapa yang solat dhuha sebanyak empat rakaat dan empat rakaat sebelumnya, maka ia akan dibangunkan sebuah rumah di syurga.”
— Sahih al-Jami’: 634
3. Mendapat rezeki dengan segera.
Diriwayatkan daripada Nu‘aim bin Hammar bahawa ia berkata, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda;
Allah berfirman, ‘Wahai anak Adam, janganlah kamu berasa lemah untuk beribadah kepadaKu dengan cara mengerjakan solat empat rakaat di awal waktu siangmu, nescaya akan Aku cukupkan untukmu di akhir harimu.”
— Hadis Riwayat Abu Dawud
4. Mendapat pahala umrah.
Daripada Abu Umamah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda,
Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk melaksanakan solat wajib, maka pahalanya seperti seorang yang melaksanakan haji. Barangsiapa yang keluar untuk melaksanakan solat Dhuha, maka pahalanya seperti orang yang melaksanakan umrah.”
— Sahih Al-Targhib: 673
5. Mendapat keampunan dosa terdahulu.
Barangsiapa yang menjaga sembahyang dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih di lautan.”
— Hadis Riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi
Penutup: Ganjaran Besar Menanti Siapa Yang Melakukan Solat Dhuha!
Pada awal surah Ad-Dhuha, Allah berfirman, “Demi waktu dhuha”.
Imam Arrazi menerangkan bahawa jika Allah SWT bersumpah dengan setiap sesuatu, itu menunjukkan hal yang agung dan besar kelebihannya.
— Ini bermaksud dhuha adalah waktu yang sangat penting.
Oleh itu, sudah jelas akan kelebihan-kelebihan solat sunat dhuha ini dan betapa besarnya ganjaran kepada sesiapa yang menunaikan solat sunat ini.
Bahkan lebih besar keistimewaannya kepada mereka yang beristiqamah mengerjakannya.
Semoga solat sunat dhuha ini menjadi sebahagian daripada amalan hidup dalam mencari keredhaan Allah SWT.
The post Panduan Cara Solat Dhuha (Lengkap & Mudah Difahami) appeared first on AKU ISLAM.