ISLAM dan Blog Aku ISLAM ISLAM dan Blog Aku ISLAM - Jangan bersedih. Mari kuatkan hati kerana Allah

Calon ayah rugged | candidate barrier by it-i-laf
Calon Ayah Rugged: Jangan cuma di luar!
19 Zuhijjah.
Pagi ini Sara memilih berjalan kaki dari pustaka ke fakulti.
Masa beginilah kesempatan bagi dirinya bermuhasabah. Sara akui bahawa apabila perhatian dan masa diberikan sepenuhnya pada kerja-kerja akademik, kepenatan menjadi alasan untuk jarang bermuhasabah diri, melihat semula kelemahan dan kekurangan diri.
Masa itu jugalah selalunya diperuntukkan untuk memikirkan beberapa perkara yang tertunggak, menilai pilihan yang perlu diputuskan jika ada.
Soal jodoh jarang sekali difikirkan. Malah rasanya, sudah agak lama pertimbangan tentang jodoh diheningkan.
Pernah juga dia ditanya sahabat dan pensyarah yang rapat dengan dirinya. Jawab Sara, dia mahu memberi tempoh pada dirinya menambah ilmu sebagai persediaan menerima kehadiran ‘dia’ sekiranya diizinkan Allah.
Dalam masa sama, laluan perlu diberikan pada hal-hal yang lebih utama. Boleh jadi, jodoh yang Allah sudah tetapkan itu, sedang mengusahakan perkara yang sama – memperbaik diri dan menyelesaikan tugas utamanya sebagai pelajar, pekerja, anak, abang, adik dan hamba Allah.
“Boleh jadi, ajal saya datang dulu sebelum ‘dia’ tiba, siapa tahu?” Jawapan Sara mengukirkan senyum di bibir Dr Faridah.
“Semoga Allah menjaga ‘dia’ untukku.” Getus hati Sara. Ingatannya pada perbualan dengan Dr Faridah mengeheret fikirannya pada pertimbangan pilihan calon suami. Lebih khusus, Sara memberi perhatian extra pada calon ayah anak-anaknya.
“Mengapa calon ayah?”
Pernah Hajar bertanya.
“Kerana tujuan perkahwinan itu, bukan semata-mata menguruskan keperluan fitrah, isi rumahnya bukan hanya kita dan pasangan. Lebih dari itu, perkahwinan ialah permulaan pembentukan sebuah keluarga yang isi rumahnya termasuk anak-anak. Tidakkah anak-anak kita itu nanti akan memikul amanah Allah, sebagai khalifah dan penyambung dakwah Rasulullah? Maka masa depan anak-anak kita ini, dapat dilihat pada calon ibu dan ayahnya.” Hajar mengangguk perlahan.
Sejak perbincangan itu, frasa ‘calon ayah’ mula meniti di bibir Hajar setiap kali dia datang meminta pendapat Sara dalam hal sama.
Sama seperti Hajar, Sara juga pernah meminta pendapat tentang calon ayah. Malah dalam soal jodoh dan calon ayah ini, dia bermusyawarah dengan lebih daripada seorang ahli.
Antara yang tidak pernah dia lupa ialah Dr Zahidi, pensyarah di fakulti yang selesa digelar dengan panggilan Abah Ustaz, tutur bahasanya lembut, jelas, ringkas dan tepat pada perkara yang perlu.
Jangan pilih calon ayah yang rugged?
“Jangan pilih yang rugged.” Sara mahu ketawa. Pertama kali ciri ini didengar, mana tidaknya.
“Bagaimana yang rugged?” Sara meminta kepastian. Boleh jadi rugged bagi Abah Ustaz, berbeza dengan telahan dirinya.
“Sudah jumpa orangnya? Kalau sudah, baju bagaimana yang dipakai? Seluar juga.”
Sara senyap.
“Apa perhiasan tangan, perhiasan kepala dan wajahnya? Lihatlah bagaimana cara bercakap, ketawa, bergaul, bagaimana auratnya dipelihara… Rugged atau tidak boleh juga kita tengok pada reka hias kenderaannya. “
Sara sekadar mengangguk. Satu-satu soalan Abah Ustaz dijawab, sekadar dalam hati.
“Kebanyakan orang yang rugged dunia kerap kali mengabaikan aksesori akhirat. Saya tidak nafikan ada yang baik antara mereka. Mahu bergaya itu tidak salah, Allah memang sukakan keindahan.
Tetapi, berpada-padalah. Aksesori yang dipilih mesti kena dengan fitrah hati, jangan melampau ruggednya, jangan merosakkan nilai ‘indah’ di sisi Islam.”
Dr Zahidi memandang Sara. Dia kenal siswi di depannya. Sebagai pelajar, Sara pembantu penyelidik yang amanah dalam tugas. Sebagai wanita Islam, Sara sangat cermat dalam menjaga pergaulan terutama dengan dirinya.
Tuntutan tugas tidak pernah menjadi alasan baginya menjaga kehormatan diri. Setiap kali bertemu di pejabat, tidak pernah dibiarkan pintu pejabatnya ditutup apatah lagi dikunci.
Seboleh-bolehnya, Sara tidak akan bertemu di luar waktu pejabat. Dia mahu menjaga dirinya dari fitnah, Dr Zahidi tahu. Itulah yang menambah kagumya pada peribadi Sara.
“Bagaimana aksesori yang merosakkan nilai indah?” Berkerut kening Sara.
Dr Zahidi memangku dagu dengan tangan kanan.
“Dunia hari ini banyak yang menipu. Pada aksesori pun, banyak perhiasan yang keluar daripada garis panduan syariat. Apa yang kita pakaikan pada diri kita, itulah aksesori dan perhiasan. Malah memang itulah tujuan Allah mengurniakan pakaian.
“Hai anak-cucu Adam! Sungguh Kami telah menurunkan untuk kamu pakaian yang dapat menutupi aurat-auratmu dan untuk perhiasan.” (al-A’raf: 26)
Lihatlah di luar sana, berapa ramai lelaki yang mengambil berat panduan yang Allah beri ini?” Sara mengangguk.
“Kadang-kadang ada yang sudah sempurna menutup aurat, coraknya pula tidak kena. Mereka tidak kisah jika pakaian mereka mempunyai lambang agama lain atau lambang-lambang kejahatan. Fesyen. Apakah fesyen lebih utama dari pandangan Allah?”
Dr Zahidi menyoal, mahu Sara berfikir sendiri kewajaran poin-poin yang dibawa dirinya. Dia tidak kisah jika Sara tidak setuju.
Dia tahu, setiap kali ada pandangannya yang tidak dipersetujui Sara, anak muda itu akan memberikan rasional, memberi pertimbangan dari sudut yang ada kalanya dirinya terlepas pandang.
“Belum lagi mahu disentuh soal kekemasan semasa berhias. Masih ingat kisah Rasulullah menegur lelaki yang rambutnya tidak terurus? Apa kata Baginda?”
“Apakah lelaki ini tidak mempunyai sesuatu untuk merapikan rambutnya.” Jawab Sara tenang. Dia masih ingat kisah itu. Dr Zahidi pernah menggunakan kisah itu sebagai isi tazkirah sebelum kelas bermula.
“Apa pula kata Baginda pada sahabat yang berpakaian kotor?”
“Apakah dia tidak memiliki air untuk mencuci pakaiannya.” Sara senyum. Dr Zahidi turut sama senyum.
Memang kita boleh kata luaran yang tidak Islami, tidak semestinya tidak baik. Malah ukuran iman seseorang, tidak terletak pada pakaian dan pergaulannya secara lahiriah.
Allah jualah yang berhak memberi nilai pada iman dan takwa seseorang. Tetapi, beza antara orang yang cintakan Allah dan Rasul, adalah pada penjagaan luaran yang membawa imej Islam.
Padanya, kita dapat melihat nur Islam, dapat dilihat akhlak Rasulullah saw. Sara tahu kan, bagaimana Rasulullah saw sangat menjada adab luaran, baik pakaian, perhiasan mahupun bicara ketawa Baginda?”
Sara mengangguk perlahan. Dia mula faham hikmah rugged yang Abah Ustaz maksudkan.
“Cuba teliti satu-satu aspek rugged yang saya kemukakan, dan carilah titik kesederhanaan yang dianjurkan Islam. Seseorang yang mempunyai hati dan fikiran yang baik dapat dilihat melalui jelmaan perkataan, penampilan dan perbuatannya.
Jika baik hati dan fikirannya, InsyaAllah akan baiklah yang lain-lain itu. Kalau orang yang datang pada Sara rugged sahaja di luar, tetapi tidak di dalam, pertimbangkanlah semula dengan iman.”
Begitu sekali pandangan iman. Sebegitu teliti ciri-ciri iman dan takwa yang perlu ada pada seorang ayah dari kaca mata Abah Ustaz. Itu pun baru soal lahiriah, belum lagi hal-hal perkataan dan perbuatan.
Mungkin, ada yang menganggap ciri-ciri ini ekstrim, tidak sesuai mengikut zaman. Namun, Sara mengambil pandangan rugged mengikut telahan Abah ustaz ini sebagai panduan. Dengan izin Allah, mudah-mudahan ciri rugged ini dapat ditemui dalam calon ayah anak-anaknya nanti.
Ruggednya tidak di luar, tetapi pada perhiasan dalamnya. Biarlah nampak biasa-biasa pada kaca mata insan, tetapi luar biasa pada kaca mata iman!
*****
Artikel Calon Ayah Rugged ini adalah perkongsian ke Inbox kami (akuislam.com@gmail.com) daripada Saidatul Faiqah Samasu, [ Facebook | Blog | Tumblr ]. Semoga perkongsian yang dikongsikan oleh beliau memberi makna dan manfaat kepada kita semua =)