Blog Aku ISLAM
Blog Aku ISLAM - La Tahzan. Jangan bersedih. Allah ada!

Gelandangan yang perlu dibantu | image Pinterest
Pada suatu petang, saya dan isteri sedang menikmati mi rebus di sebuah medan selera di bandar Johor Bahru. Anak perempuan kami yang baru berusia setengah tahun turut sama menceriakan suasana petang yang santai.
Tidak lama kemudian, seorang lelaki dalam lingkungan 50an, berjalan melintasi meja kami sambil mengangkut dua beg plastik penuh berisi tin dan botol kosong. “Untuk dijual barangkali”, detik hati saya.
Isteri saya tiba-tiba bertanya satu soalan yang begitu menyentuh hati, “Bila agaknya kali terakhir pak cik tu makan kan bang?”
Pertanyaan sebegitu bukannya membutuhkan jawapan. Tetapi ia menuntut kepada tindakan. Lantas, kami segera menahan lelaki tersebut daripada terus pergi.
Dia agak terkejut dengan tingkah kami berdua suami isteri. Selepas saya ucapkan salam kepadanya, raut wajah tampak lebih tenang.
Saya terus belikan sepinggan nasi campur bersama teh ‘O’ ais untuk lelaki itu. “Abang, sila makan,” saya menjemput. Lelaki itu membalas dengan ucapan terima kasih.
Kami berasa bahagia kerana diberi peluang untuk berkongsi rezeki Allah dengan saudara seinsani.
.
Persepsi Terhadap Golongan Miskin
Baru-baru ini golongan miskin dan gelandangan mencuri perhatian masyarakat, terutamanya menerusi perbincangan di laman sosial, dek kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pak menteri.
Penulisan ini bukanlah bertujuan untuk membahaskan bicara si pak menteri.
Di sini kita ingin mencari di mana sebenarnya tempat golongan miskin, fakir, dan gelandangan di hati seorang Muslim. Salah satu usaha pembaharuan yang dibawa oleh Rasulullah SAW ialah merubah persepsi masyarakat terhadap orang-orang fakir miskin.
Sebelum kedatangan Islam, golongan miskin tiada tempat dalam masyarakat di Mekah. Rata-rata mereka menjadi mangsa perhambaan sesama manusia akibat ditimpa hutang riba yang tidak berkesudahan.
Tiada siapa yang sudi menghulurkan rasa belas simpati, kasih sayang, dan kemurahan hati kepada mereka.
Rasulullah SAW datang dengan seruan yang memuliakan mereka yang berbakti kepada golongan fakir miskin.
“Mereka yang menjaga kebajikan wanita-wanita janda ataupun orang-orang miskin adalah seperti pahlawan yang berjihad di jalan Allah SAW.” Begitulah sabda baginda SAW.
Malah, baginda SAW juga mengingatkan akibat buruk bagi mereka yang mengabaikan kebajikan golongan yang memerlukan.
Ahli-ahli syurga saling bertanya tentang penghuni neraka. “Apakah yang telah menghumban mereka ke neraka?” Penghuni neraka nanti menjawab, “Kerana kami tidak mendirikan solat dan tidak memberi makan kepada orang miskin.”
Begitulah yang diceritakan dalam surah al-Muddathir, ayat 40-44.
Ahli Suffah
Ahli suffah adalah sebahagian lelaki daripada sahabat Rasulullah SAW yang tinggal di hujung Masjid Nabawi. Mereka adalah golongan miskin dan tidak mempunyai rumah.
Mereka selalu diberi makan dan bantuan oleh penduduk Madinah. Walaubagaimanapun, mereka tetap keluar bekerja bagi untuk mencari rezeki.
Sikap mereka ada dirakamkan dalam ayat 273 surah al-Baqarah.
“(Infaq) adalah bagi golongan fakir yang berkhidmat di jalan Allah, tetapi mereka tidak mampu untuk mengembara (untuk berdagang). Mereka itu disangka kaya oleh orang yang tidak mengenali mereka kerana sikap yang tidak mengharapkan orang lain. Engkau mengenali mereka daripada kesan-kesan di wajah mereka. Mereka tidak mengemis (atau meminta-minta). Sesungguhnya Allah maha mengetahui tentang apa yang kamu infakkan.”
Sahabat Nabi SAW di kalangan Ahli Suffah:
- Abu Hurairah RA
- Salman al-Farisi RA
- Abu Dzar al-Ghifaari RA
- Saad ibn Abi Waqas RA
- Kaab al-Harith RA
Gelandangan & Soup Kitchen
Dari latar sosio-ekonomi, situasi golongan gelandangan pada masa kini tidak banyak berbeza dengan ahli suffah pada zaman Nabi SAW.
Cumanya, pada masa kini tiada masjid yang sudi menumpangkan mereka walau semalam dan masih ramai orang Islam yang tidak cakna dengan keperitan hidup mereka.
Aktiviti memberi makan kepada golongan gelandangan atau lebih popular dengan nama Soup Kitchen bukan sahaja meringankan beban ekonomi golongan terpinggir ini, bahkan beban emosi dan spiritual.
Merasakan bahawa masih ada anggota masyarakat yang peduli tentang nasib mereka sedikit sebanyak menyuntik semangat kepada mereka untuk meneruskan kehidupan walau terpaksa berdepan dengan segala macam keperitan.
Projek Kongsi
Sebagai seorang Muslim, kita seharusnya menjuarai perjuangan membela nasib golongan miskin dan gelandangan.
Kenali badan-badan atau persatuan yang bergerak aktif dalam menghulurkan bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik ini. Ketahui tentang jadual aktiviti pembahagian makanan yang mereka lakukan.
Apa yang boleh dikongsikan?
Di saat ini, saya ingin mengajak para pembaca untuk merealisasikan satu idea–Projek Kongsi. Projek Kongsi adalah usaha perkongsian lebihan makanan kepada golongan miskin dan gelandangan.
Lebihan makanan ini boleh dijumpai di rumah kita sendiri, dalam jamuan-jamuan di masjid, dan majlis-majlis keraian yang lain.
Makanan ini bolehlah dibungkuskan dengan baik dan disalurkan kepada badan-badan kebajikan yang telah kita kenalpasti. Inilah peluang keemasan untuk kita menghidupkan salah satu sunnah Nabi SAW iaitu memberi makan kepada golongan fakir miskin.
Nabi SAW ada berpesan dalam hadith riwayat Tirmizi, “Jangan kamu berpaling daripada orang miskin walaupun apa yang kamu mampu berikan hanyalah separuh biji buah kurma.”
Akhir kata, jangan kita putuskan do’a untuk golongan yang kurang bernasib baik ini supaya perasaan kasih sayang kita terhadap mereka tetap segar dan terus mekar.
*****
Artikel ini adalah perkongsian ilmu daripada Dr Harith Fakhrudin (http://medicislam101@blogspot.com/). Semoga ilmu yang beliau coretkan memberi manfaat kepada semua pembaca. InsyaaAllah =)